Thursday 29 November 2012

CATATAN PENGEMBARAAN: Perjalananku mengerjakan UMRAH~~




Alhamdulillah setelah menziarahi kota suci Madinah, rombongan jemaah bergerak dengan bas dari hotel menuju ke Bir Ali untuk miqat umrah disitu sebelum bertolak ke Mekah pada lebih kurang pukul 3.00 pm hari Sabtu 4 Jun 2011. Jauh Mekah dari Madinah lebih kurang 400 km dan perjalanan memakan masa beberapa jam juga.Alhamdulillah dengan izin Allah, segalanya berjalan lancar dan dalam perjalanan berhenti solat jamak maghrib dan isya di sebuah tempat untuk berhenti rehat dan solat. Cuma apa yang diperhatikan tempat kemudahan solat di sini agak kecil dan tandas pula kekurangan air. Maka terpaksa menunggu giliran agak lama juga untuk solat kerana beberapa buah bas lain yang sama tujuan pun berhenti disini. Maka ramai juga orang lain berhenti juga disini untuk solat......Kesabaran menanti giliran masing-masing sangat-sangat diperlukan.

Oleh kerana sudah berada dalam ihram, maka pantang larang ihram juga harus di jaga. Namun ada juga jemaah terutamanya wanita yang kurang menjaga auratnya walaupun dalam ihram........mungkin sudah terbiasa berbuat sedemikian sewaktu keadaan biasa. Sedangkan masalah aurat ini bukanlah hanya perlu dijaga dengan teliti semasa ihram....bahkan pada setiap masa dan ketika, lebih lebih bagi kaum wanita. Mendedahkan aurat ini hukumnya haram tak kiralah masa ihram atau tidak!!


Suasana malam di Masjidil Haram
Alhamdulillah, lebih kurang pukul 10.30 pm bas pun sampai ke Hotel penginapan di kota suci Mekah yang mana hotel ini terletak tidak berapa jauh dari Masjidil Haram lebih kurang 10 minit perjalanan sahaja. Dari tingkap bilk hotel sudah dapat melihat menara Masjid yang tinggi itu. Setelah mengangkat beg dan makan malam, maka rombongan kami pergi bersama-sama ke Masjidil Haram melakukan umrah pertama di Mekah.

Kami bertalbiyah dan penuh khusyuk bergerak ke Masjidil Haram di bawa oleh Mutawif umrah kami.
Kami memasuki pintu 79 iaitu Babul Al Malik Fahd dengan bacaan doa memasuki masjid. Berdebarnya hati ku dapat menjejak masuk ke Masjidil Haram kali ini, insyaAllah setelah sekian lama akhirnya pada kali kedua ini aku dapat memasuki semula ke masjid ini sebagai tetamu Allah lagi....Syukur ya Allah aku datang semula dengan izinMu! Tiada kata yang dapat ku ucapkan apabila melihat rumah Mu melainkan....Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar .....Walillahilhamd....!!

MasyaAllah, ramai juga manusia sedang bertawaf, maka aku dan suami melangkah kaki menuju Hajarul Aswad untuk memulakan tawaf umrah. Laungan zikir, tasbih, tahmid berkumandang.....bersahut-sahutan tanpa hentinya dari jemaah manusia yang tawaf. Sebaknya hati dan bercucurannya airmata mengelilingi Kaabah ini, berdoa dan berzikir tanpa henti-henti memohon ampunan dosa.....sehingga akhirnya dapat menyelesaikan tawaf lebih kurang sejam juga. Berhampiran Hajarul Aswad dan Makam Ibrahim selalunya terpaksa bersesak-sesak disini......perjalanan agak lambat kerana manusia yang ramai ...! Melihat keadaan begini aku terfikir, berpeluangkah aku untuk mengucup Hajarul Aswad?

Setelah berdoa di depan Multazam, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim serta solat sunat di belakang Hijr Ismail, kami pun meminum air zam-zam dan berdoa dan menuju ke Bukit Safa untuk memulakan Sai Umrah. Kakiku sudah keletihan, lututku semakin sakit dan badan penat kerana perjalanan jauh tadi dari Madinah....namun ku berdoa semoga Allah memberikan kekuatan hati untuk meneruskan sai ini, insyaAllah!

Alhamdulillah, dengan melangkah perlahan-lahan, suamiku mengiringiku sama-sama membaca doa di setiap perjalanan sai.....insyallah setelah hampir dua jam barulah selesai sai tadi pada pukul 2.30 am, hampir tiga jam sejak bermula tawaf tadi. Alhamdulillah, selesailah ibadah umrah ini.....mudah-mudahan dengan setiap langkah yang diayun semasa tawaf dan sai, Allah akan mengampunkan segala dosa yang banyak ini, menghapuskan segala kesalahan dang menggantikannya dengan kebaikan, insyallah. Itulah yang di harapkan sepanjang perjalanan menunaikan ibadah ini......setiap detik dan masa memanjatkan doa, berzikir, mohon ampun dari Mu Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih!

Ku perhatikan dalam mengerjakan ibadah ini, kekuatan semangat melebihi kekuatan fizikal. Ku lihat orang tua yang tidak bermaya dipimpin anaknya menapak perlahan-lahan mengerjakan sai, dan selesai sai, si anak mengucup dahi bapanya yang terbaring keletihan memberikan semangat. Ada juga yang mengendong anak kecil semasa sai dan tawaf. Sewaktu kami selesai tawaf umrah kelima pada waktu tengahari yang panas, ku lihat seorang lelaki tua yang capik kakinya yang berjalan perlahan, selangkah kita bersamaan tiga langkahnya, selesai tawaf dengan peluh membasahi kain ihramnya......Terharunya hati kami melihatnya, suamiku bangun dan memeluk dan mengucup lelaki tua tersebut......!! Allahu Akbar....begitulah tingginya semangat ibadah manusia pada Allah, tak kira panas macam mana pun, pasti ada manusia yang tawaf mengelilingi Kaabah.

Aku terfikir untuk mencuba tawaf pada waktu tengahari yang panas suhunya ketika itu iaitu 42 C, kerana selalunya orang tidak ramai pada waktu itu. Pada awalnya ku ingat bahangnya sama macam diluar Masjidil Haram, tapi masyaAllah...... semasa tawaf tidak ku rasakan bahang kepanasan seperti diluar masjid, malah dapat dihabiskan tawaf dalam masa setengah jam sahaja ! Lantai marmar tempat bersujud itu tidak sepanas seperti yang di sangkakan! Walaupun peluh menitik membasahi tubuh, namun ada angin yang bertiup yang menyejukkan diri. Itulah rasanya rahmat Allah yang diberikan, pada mereka yang bertawaf...........Wallahualam.

Namun aku agak terkejut dengan adanya orang mengambil upah untuk membantu jemaah mengucup Hajarul Aswad. Pada umrah ketiga yang kami buat , apabila hampir selesai tawaf pusingan ke 7, aku didatangi seorang wanita berbahasa Indonesia yang bertanya" Ibu mau kucup Hajarul Aswad tak, boleh di bantuin?"

Sememangnya sepanjang tawaf, aku berdoa agar dapat mengucup Hajarul Aswad, menyentuh dan berpaut di Kaabah dan berdoa di Mutazam dan solat serta doa dalam Hijir Ismail. Aku hanya menganggukkan kepalaku kerana memang itu niat ku tadi. Wanita tadi bersama 3 orang lagi rupanya berpakat membantu kami untuk mengucup hajarul aswad , menjadi benteng agar aku dan suami tidak di himpit semasa mencium hajarul aswad. Sukarnya memasukkan kepala kedalam ruang Hajarul Aswad di letakkan kerana ramainya orang berebut-rebut, tapi akhir dapat mencium sedikit sahaja......Mujurlah tidak tercium apa-apa bauan....
Setelah selesai, wanita tadi mengikuti kami keluar......dan dia minta hadiah diatas apa yang dilakukan. Aku terkejut kerana tidak tahu menahu pasal ini....nak tolong pun minta hadiah? Aku nyatakan kami tidak bawa banyak wang untuk umrah ini, dan sebolehnya tolong sahaja ikhlas kerana Allah bukannya minta duit untuk itu! Kalau minta duit...tidak ikhlas dan tidak dapat apa-apa ganjaran disisi Allah. Akhirnya aku hanya menyumbangkan wang sedikit wang sahaja sebagai hadiah penat lelahnya bukannya 400 Riyal sebagaimana yang diminta!! MasyaAllah, dalam melakukan ibadahpun ambil kesempatan cari duit! Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNya kepada orang sedemikian yang sudah tersasar dari matlamat asal ibadah kepada Allah!

Seperkara lagi yang ku perhatikan semasa sai dan tawaf ada juga jemaah menjawab dan bercakap dengan telefon...sepatutnya khusyuk beribadah umpama dalam solat , tiada lain yang kita ucapkan kecuali, zikir, zikir , doa dan sentiasa berdoa agar Allah mengampunkan dosa kita! Dan perbuatan tadi iaitu percakapan dan deringan telefon menganggu konsentrasi orang lain!! Begitu juga semasa menunggu waktu solat fardhu...Sepatutnya masa menunggu digunakan untuk baca Quran , berzikir ataupun solat sunat, bukannya bercakap dengan telefon atau bersembang- sembang sahaja.

Aktiviti sedemikian sepatutnya diminimakan bila berada di masjid. Kita beriktikaf didalamnya, jadi biarlah apa yang kita buat itu jadi ibadah yang sebenarnya yang diterima Allah sebagai amal soleh. Melakukan solat di Masjidil Haram pahalanya adalah 100,000 kali ganda lebihnya dari solat di masjid lain. Ruginya kita jika kita membuang kesempatan sebegini.......!!

Kurasakan dalam melakukan ibadah apa pun, keikhlasan hati kerana Allah, kekhusyukan melakukannya dan mengikut syariat yang telah ditetapkan adalah perlu kita ambil berat agar ibadah kita Allah terima dan tidak sia-sia di sisi Allah. Kualiti ibadah yang dibuat perlu dijaga bukan hanya mengejar kuantiti sahaja......dan buat lah sesuatu itu berdasarkan kemampuan diri, insyallah.

Setiap langkah yang di ayun, setiap zikir dan tasbih serta doa yang dipanjatkan perlulah datangnya dari hati yang ikhlas yang merasai hakikat hubungan hati dengan Allah SWT. Merasai kebesaran dan keagungan Allah pada setiap laungan takbir yang di ucapkan.....merasakan kekerdilan dan kehinaan diri apabila kita bersujud di hadapan rumah Allah.....lantas menitiskan air mata betapa kita ini, banyaknya tidak mensyukuri nikmatNya, banyaknya hak Allah yang tidak tertunaikan, banyaknya dosa yang kita buat, seringnya kita melupakan Allah dalam melayari kehidupan ini, sibuknya kita dengan dunia dan kurangnya kita dengan akhirat kita, banyaknya tanggungjawab yang masih belum tertunai............aduh panjangnya senarai tidak mampu dituliskan...........!!

Memang sepatutnya kita perlu meminta ampunan dosa dari Allah banyak-banyak semasa melakukan ibadah umrah atau haji yang merupakan kemuncak ibadah kita pada Allah yang memerlukan banyak pengorbanan dari kita dari semua aspek!! Bukannya hanya datang dengan niat nak memohon hajat yang terbuku di hati agar di tunaikan.......sebagai sampingan , insyaAllah tidaklah salah tapi bukannya matlamat utama!

Yang lebih utamanya, setelah melakukan ibadah ini mudah-mudahan tertingkatnya iman dan takwa, terhapusnya dosa, dan dapat memberikan sumbangan lebih untuk maslahah islam dan ummah, insyaAllah.
Segala yang buruk dalam diri dapat ditinggalkan dan dihiasi dengan akhlak yang mulia, insyaAllah!

Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan hati dan kemampuan diri untuk berubah menjadi yang lebih baik......semua itu sebenarnya bukanlah boleh datang sekelip mata dan berubah dengan drastik....tetapi perlu diproses jiwa dengan proses keimanan yang berterusan dan istiqamah. Mohon taufik dan hidayah dariNya jua agar sentiasa berada di atas jalanNya yang lurus!! Kita ini hanya manusia yang lemah yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan bimbingan Allah dalam segenap langkah kehidupan ini.......

Amin Ya Rabbal Alamin......


No comments:

Post a Comment